Revolusi Minda

Friday, October 6, 2017

Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin

Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin September 19, 2017 by Ahmad Farouk Musa “Al-Qur’an mengarahkan kita menerapkan prosedur yang rasional dan penelitian intelektual dalam manifestasi cakerawala ini, sejauh yang mungkin, dalam segala butirannya, agar ia dapat membawa pada keyakinan dalam perkara yang ia tuntuni.” [Muhammad Abduh, Risalah At-Tauhid] Demikianlah penegasan Imam Muhammad Abduh, salah seorang reformis ulung pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 itu. Dalam segenap tulisan dan syarahannya, pemicu dan katalis intelektual kaum Muslimin itu tidak hanya berikhtiar untuk mereformasi pemikiran religius dengan menganjurkan metodologi yang kritis dalam menghadapi kaum ortodoks yang kaku, dengan memadukan sains moden ke dalam ilmu-ilmu agama, tetapi juga berusaha untuk mentransformasi masyarakat Islam keseluruhannya, dengan memfokuskan kepada pendidikan yang merupakan kunci kepada reformasi sosial dan politik. Sebelum Abduh, gurunya yang terkenal sebagai reformis terulung, Jamal al-Din Afghani, terdahulu mengerahkan perjuangannya melawan segala bentuk kekakuan dalam pemikiran umat Islam lantaran terikat dengan faham teologi [kalam] tradisional yang bertaqlid kepada golongan agamawan. Umat Islam yang suatu ketika dulu dalam sejarah pernah menerajui peradaban dunia, kini tercari-cari makna diri, dan tersingkir daripada kemajuan sains dan teknologi kerana menafikan dan mengkesampingkan akal yang rasional. Kita akan melihat bahawa para reformis silam telah berjaya memberi nafas baru dalam agama melalui pemugaran semula apa yang dinamakan sebagai penalaran rasional atau ijtihad. Dan hal ini berhasil lantaran bersandar pada apa yang dimuafakati dalam perundangan Islam sebagai qiyas. Para reformis telah berhasil dalam penerobosan mereka menelusuri segala rintangan dan ranjau fiqh yang berjilid-jilid itu tanpa terikat dengan mana-mana pendapat, atau kerangka mazhab. Jamal al-Din Afghani dan Falsafah “Syukurlah di pertengahan abad ke-19 yang lalu, timbul permulaan perubahan besar cara berfikir, dengan dibuka jalannya oleh Failasuf el-Islam el-Azhim Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan muridnya Al Muslih Al Kabir Syaikh Muhammad Abduh, yang sezaman dengan Ernest Renan di Perancis dan Herbert Spencer di Inggeris.” – [Hamka, Falsafah Hidup, xxiv] Pada tahun 1883, Al-Afghani telah berdebat dengan Ernest Renan seputar permasalahan “Islam dan Sains” yang secara khususnya memusykilkan keupayaan Islam untuk mereformasi dan menyesuaikan diri dengan tamadun moden. Abduh bergandingan dengan gurunya setahun sesudah itu, dan mereka berkerja-sama menerbikan jurnal berkala Al-Urwah al-Wuthqa. Al-Afghani percaya, yang Islam, adalah sepertimana agama yang lain juga, cumanya ia adalah agama yang membawa obor kebenaran, yang sejati, yang berupaya memberikan kepuasan kepada kerohanian manusia. Dan sepertimana para pemikir di zamannya, beliau sanggup menerima tohmahan seperti yang ditohmah ke atas agama Kristian oleh cendikiawan Eropah bahawa agama itu adalah suatu yang tidak rasional dan merupakan musuh kepada sains dan kemajuan. Tetapi dalam masa yang sama, beliau cuba membuktikan bahawa tohmahan itu tidak benar tentang Islam. Sebaliknya Islam sentiasa harmonis dengan segala prinsip yang ditemui secara saintifik berdasarkan akal, kerana Islam ini jua adalah agama yang berpijak kepada akal. Pada Al-Afghani, Islam membutuhkan Martin Luther-nya. Malahan ini merupakan tema kesukaan Al-Afghani dan beliau menampakkan dirinya sebagai reformis yang diharap-harapkan itu. Sekiranya reformasi tercetus dalam pemahaman agama yang telah usang itu, beliau percaya Islam sekali lagi dapat mengungguli dalam tamadun umat manusia. Hal ini telah dibuktikan dalam sejarah; di mana sains yang rasional mekar tatkala era kegemilangan Kaum Muktazilah. Tapi sudah semestinya, akan terjadi ketegangan dan konflik antara agama dan falsafah, kerana seyogianya konflik seumpamanya akan tetap wujud dalam pemikiran manusia. “Selama manusia hidup, pergulatan tidak akan berhenti antara dogma dan pencarian yang bebas, antara agama dan falsafah; pergelutan yang gawat yang mana, saya khuatir, kemenangan tidak berpihak kepada pemikiran yang bebas, kerana kebanyakan massa tidak menyukai nalar, dan ajarannya hanya dapat difahami oleh sesetengah yang cerdas dari kelompok elit…” [Jamaluddin al-Afghani] Perjuangan Al-Afghani bukan sahaja menimbulkan prasangka pihak pemerintah, terutamanya pejabat atasan Inggeris di Mesir, malahan juga kelompok ulama’ al-Azhar. Bagi golongan ulama’ yang konservatif ini, kecurigaan mereka berasaskan dua faktor yang utama; pertamanya kerana keghairahan Al-Afghani untuk menghidupkan kajian dan studi falsafah – yang seharusnya dipandang kelompok agamawan ini sebagai musuh kepada agama; dan keduanya, kerana keengganan Al-Afghani untuk terikat kepada mana-mana mazhab tertentu, yang bagi kebanyakan gerombolan agamawan itu, termasuk sesuatu yang wajib dalam beragama. Kritik seperti ini menunjukkan yang perjuangan Al-Afghani merupakan sesuatu yang baharu, lantaran itu ia harus ditolak. Hal ini seperti diungkap oleh Elie Kedourie tentang aspirasi moden yang digerakkan oleh Al-Afghani dan Abduh. “Sayyid Jamaluddin Al-Afghani dan pengikutnya yang terkenal Muhammad Abduh, mengukir suatu reputasi sebagai pembela dan pembaru Islam moden” [Elie Kedourie, Afghani and Abduh: An essay on religious unbelief and political activism in modern Islam. London: FranCass and CO. ltd, 1966, h. 1] Sebenarnya Al-Afghani tidak pernah menyamakan falsafah dengan nubuwwah, walaupun beliau diselar sedemikian oleh golongan agamawan kerana falsafah itu berubah mengikut perubahan sosial dan kecenderungan epistemologi budaya; akan tetapi falsafah dan nubuwwah itu harus digabungkan untuk memacu kemajuan dalam ketamadunan. Ringkasnya, al-Qur’an adalah kalam Allah yang diwahyukan oleh malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad; akan tetapi ijtihad adalah pencerapan manusia terhadap wahyu Ilahi itu yang dikerahkan dengan daya dan usaha kefalsafahan. Justeru itu Afghani berhujah bahawa tertutupnya pintu ijtihad telah menghambat kemajuan sosial dan politik, yang turut mengakibatkan, kerencatan dalam kemajuan sains dan teknologi. Di dalam Reply to Renan, Al-Afghani menanyakan bagaimana peradaban Islam ini merudum dengan aliran zaman. Lalu Afghani mengkritik pemahaman ortodoks yang dipertahankan para ulama’ dan penguasa yang menunggang ulama’ untuk menyokong regim mereka, yang menjadi punca kebekuan peradaban dan ketamadunan. Demikian juga dengan terikatnya penafsiran agama itu dengan satu mazhab yang ditentukan pemerintah, bagi kelangsungan hayat regim tersebut, juga merupakan salah satu sebab kemunduran umat Islam. Yang paling menarik dari pengamatan Afghani tentang kemunduran peradaban Islam, bukannya pada siapa yang menyebabkan kemunduran tersebut, tetapi bagaimanakah ianya dapat diterbalikkan. Jelaslah di sini bahawa Afghani bukan hanya mengkritik sikap ortodoks para ulama’ yang menjadi punca kebekuan ini di dalam Reply to Renan, tetapi beliau juga mengkritik sikap para ulama’ yang mempertahankan pendirian ortodoks dalam beragama sebagai cara untuk mengekalkan kebekuan intelektualisme kaum Muslimin. Imam Muhammad Abduh dan Rasionalisme “Di sana terdapat dua buah buku: satu dicipta iaitu alam cakerawala; dan satu lagi di wahyukan iaitu al-Qur’an. Dan hanya melalui akal kita akan dipimpin oleh buku ini untuk memahami buku yang satu lagi” [Al-Manar, Jil. VII, p.292] Permusuhan terhadap falsafah dan tanggapan rasional yang menyebabkan kebekuan pemikiran umat telah bermula sejak berkurun dengan tewasnya Kaum Muktazilah kepada Kaum Asya’irah. Dan perjuangan Afghani untuk mengembalikan kekuatan rasionalisme dan falsafah dalam pemikiran umat ini telah diteruskan dan diperkasai oleh muridnya yang setia, Muhammad Abduh. Abduh membawakan sintesis antara rasionalisme dan kesedaran sosio-poitik yang moden. Hal ini membolehkan beliau untuk menyorot semula akar dari pengetahuan Islam; iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah, dan struktur teologi Islam. Dan inilah yang menjadi asas kepada apa yang dikenal sebagai gerakan atau manhaj Islahnya. Kita melihat bahawa isu-isu tentang Islam dan pengetahuan moden ini merupakan hadaf utama dalam penulisannya sehingga beliau merevisi dan meninjau kembali tamadun Islam itu sendiri. Dan beliau telah membuka pintu ijtihad dengan lebih luas lagi. Lantaran beliau melihat bahawa agama itu sesuatu yang terpenting dalam kehidupan manusia, maka satu-satunya cara untuk menggerakkan perubahan atau islah yang sebenarnya adalah dengan merubah cara berfikir dan mentaliti umat. Sepertimana ulama’ Muktazilah sebelumnya yang membangkitkan upaya penalaran dalam memahami ayat-ayat al-Qur’an yang bersifat metaforika [tamthil], beliau percaya inilah caranya untuk membawa umat Islam berfikir semula supaya tidak menerima secara melulu pernyataan al-Qur’an dari kerangka harfiah [literal] semata-mata. Usaha ini telah dirintis oleh ulama’ Muktaziah berkurun lalu disebabkan pemahaman mereka yang al-Qur’an itu makhluk, yang mengertikan bahawa kehendak Tuhan ke atas hambaNya, mestilah dapat ditafsirkan dengan akal dan rasio. Ini sudah semestinya berbeza dengan kalam Asha’irah yang menganggap al-Qur’an itu qadim adanya, coeval, atau setara dan kebersamaan dengan kewujudan Tuhan itu, kerananya, ia hanya untuk dilaksanakan sepertimana ianya. Para pengkaji tamadun manusia telah melihat bagaimana kebangkitan puak anti-rasionalisme daripada mazhab Asha’irah ini berkait rapat dengan penyusutan sains di dunia Islam. Dengan bangkitnya kaum Asha’irah, pembelajaran dan pemahaman di dunia Islam mulai menunjukkan pertentangan dengan sebarang kaedah pemikiran saintifik yang bagi mereka, tidak membawa sebarang kebaikan dalam menjalankan tugas keagamaan dalam ruang peribadi maupun awam. Kita melihat, umat Islam masa kini lebih banyak meyakini perkara yang ajaib dan luar biasa walaupun bercanggah dengan prinsip-prinsip sains tabii kerana teologi Asha’irah mengajar bahawa Allah Maha Berkuasa menentukan segala sesuatu walaupun ia bertentangan dengan akal dan hukum alam. Lantaran itulah kita mendapati begitu ramai yang percaya dengan pembedahan batin walaupun hukum sains dan perubatan saintifik menegaskan yang ianya mustahil berlaku. Menurut mereka, faham Asha’irah mengajar bahawa kesemuanya mungkin, kerana Zat Tuhan Maha Berkuasa melakukan segala sesuatu itu. Air bisa tidak menghilangkan dahaga, dan api bisa tidak membakar. Manusia yang memperoleh karamah bisa terbang dan tidak terikat pada hukum graviti. Dan dia juga boleh berada di beberapa tempat pada masa yang sama. Kefahaman sebegini menatijahkan kepada penolakan hukum alam dan teori sains yang dapat difahami dan dibuktikan secara saintifik berhubung fenomena alam ini. Oleh kerana itulah, Imam Muhammad Abduh merasa menjadi tugas dan tanggungjawabnya untuk menjernihkan semula kefahaman sebegini. Ini dimulai dengan tafsirnya, yang dikumpulkan oleh murid beliau, Muhammad Rasyid Rida. Di dalam Tafsir al-Manar, Abduh menghuraikan konsep al-Qur’an sebagai “teks”, pertamanya dengan menegaskan secara implisit tentang struktur kesusasteraannya, dan seterusnya membawa gengsi risalah yang disampaikan pada kurun ke-tujuh dengan tahap intelektualisme masyarakat Arab pada ketika itu. Makanya, sesuatu yang tampak tidak rasional dan bertentangan dengan logika dan sains, haruslah difahami sebagai mencerminkan bagaimana umat Arab memandang dunia pada ketika itu. Kesemua ayat mengenai sihir umpamanya dapat diuraikan sebagai ekspresi dari kepercayaan Arab. Dan kerana itulah, ungkapan dan istilah seperti “metafora’ dan “alegori” tercatat dalam Tafsir al-Manar sebagai struktur asas bagi sebarang huraian yang rasional terhadap segala hal ajaib yang diungkapkan dalam al-Qur’an. Kita melihat, lantaran itu, tatkala Abduh mentafsirkan ayat-ayat yang menyebutkan tentang malaikat yang turun berperang menghadapi golongan kuffar Quraish (āl –Imran: 124-125), bagi Abduh ia bukanlah malaikat seperti yang diyakini kelompok literalis tetapi menggambarkan satu ekspresi dari pendorong dan peransang; para malaikat itu menambahkan cetusan semangat dan daya juang pasukan tentera yang beriman untuk terus bertempur merebut kejayaan. Ini secara eksplisit jelas menunjukkan usaha Abduh untuk mengkontekstualisasikan pemahaman al-Qur’an supaya selaras dengan akal yang rasional dan mengenyahkan sebarang mitos daripada ayat suci al-Qur’an. Lihat pula bagaimana Abduh menguraikan ayat yang mengaitkan tentang burung Abābil yang telah menghancurkan tentera bergajah Abrahah. Abrahah, panglima Kristian di Yaman - yang diperintah ketika itu oleh kerajaan Habsyah - membangunkan sebuah gereja agung di San’ā, kerana ingin mengalih urusan haji masyarakat Arab yang saban tahun berkunjung ke tempat tumpuan di Mekah, Kaʻbah, kepada gereja yang baru. Apabila harapan ini tidak dipenuhi, dia bertekad untuk menghancurkan Kaʻbah; lalu menyiapkan tentera yang dilancarkan ke Mekah bersama dengan pasukan gajah, yang merupakan sesuatu yang tak pernah dikenal dan luar biasa bagi masyarakat Arab: kerana itu, mereka yang hidup pada zaman tersebut dan para ahli sejarah yang datang kemudian menamakan tahun tersebut “Tahun Gajah”. Menarik diperhatikan yang Abduh merujuk pada kata nama tā’ir, di mana kata jamaknya tayr, dalam surah ke-105, al-Fīl; dengan menunjukkan setiap “makhluk yang terbang”, sama ada burung, serangga atau kuman. Memandangkan di dalam al-Qur’ān, tiada keterangan yang menjelaskan tentang sifat “makhluk yang terbang” yang disebut oleh ayat di dalam surah al-Fīl itu, dan dari satu sudut, setiap “gambaran” yang disampaikan oleh para pentafsir itu, bagi Abduh, hanyalah berbentuk khayalan semata. Dan Abduh mengertikan perkataan “hijāratin min sijjil”, dalam surah tersebut “dengan batu-batu sijjīl”, yang merupakan istilah yang sinonim dengan sijjīl, yang menunjukkan “catatan”, dan, menurut Abduh, secara figuratifnya membawa makna “sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah”. Maka dengan itu, frasa hijārah min sijjīl adalah metafora untuk “batu keras yang tercatat dengan azab yang ditentukan” iaitu, dalam ketetapan Allah. Manakala azab yang tertentu yang digambarkan itu membayangkan jangkitan penyakit yang merbahaya; samada penyakit cacar yang merebak ataupun penyakit thypus. Jelas Abduh dalam penafsirannya cuba mengetengahkan tafsiran yang rasional, yang bisa diterima akal yang waras, dan lebih munasabah dari sudut pandangan sains. Demikianlah cara Abduh membawa umat Islam berfikir dengan daya intelek dan bukan semberono mempercayai perkara yang boleh berlaku dengan melanggar hukum alam. Ia harus bermula dengan cara kita membaca dan memahami al-Qur’an. Dan inilah manhaj Abduh dalam menghimbau bangsa Arab dan umat Islam untuk keluar daripada rongrongan dan keteledoran fikiran kerana percaya hal-hal yang sakti lagi ajaib, hanya kerana mereka meyakini dan beriman dengan kalam Asha’irah, yang Allah berkuasa melakukan sesuatu yang berlawanan dengan hukum alam yang, anehnya; Tuhan itulah yang telah menetapkan sendiri. Bagi Abduh, agama harus dianggap teman terintim kepada sains, yang menggerakkan manusia untuk menyelongkar rahsia kewujudan alam ini, menyuruhnya untuk mengiktiraf hakikat kebenaran yang tersingkap, dan menjadikannya tempat rujukan dalam kehidupan dan prilaku moralnya. Tetapi mungkin, sumbangannya yang terbesar dalam hal ini adalah dalam penegasannya yang al-Qur’an bukanlah sebuah buku sejarah, ataupun buku sains; sebaliknya ia adalah kitab yang membawa petunjuk. Kerana itu, segala usaha untuk membuktikan kebenaran sesuatu teori sains adalah tidak absah. Naratif al-Qur’an juga, tidak harus ditanggapi sebagai dokumen sejarah. Segala naratif sejarah yang disampaikan di dalam al-Qur’an adalah supaya umat bisa mengambil pengajaran daripadanya, baik ianya berbentuk nasihat maupun peringatan. Menurut Abduh; tidak ada percanggahan antara “iman” dan “akal”. Jika terdapat semacam percanggahan antara “akal” dan “wahyu” ia harus diandaikan bahawa satu atau lainnya telah disalahtafsirkan; kerana keduanya pada dasarnya merupakan dua cara yang berbeza untuk menyampaikan satu kebenaran Ilahi. Pandangan dunia yang inklusif terhadap perjuangan memperkasa daya intelek ini berkembang dengan lebih komprehensif dalam era moden Islam seperti digagaskan dalam tafsirnya. Sangat berpengaruh dan menarik watak dakwah dan perjuangannya mengangkat kekuatan akliah dan intelek sehingga telah mengilhamkan kefahaman tafsir dan sejarah yang kukuh dalam pemikiran tafsir moden. Abduh menjelaskan hakikat historiografi dan perbezaannya dengan ceritera dalam al-Qur’an. Historiografi adalah lapangan saintifik dari ilmu yang berasaskan kajian dan penyelidikan yang kritis bersumberkan data-data yang diperolehi. Manakala di dalam al-Qur’an pula, cerita sejarahnya bermaksud untuk menganjurkan nilai-nilai kesusilaan, spiritual dan keagamaan. Cerita-cerita tersebut mungkin berasal daripada insiden sejarah, namun maksudnya bukanlah untuk mengajar sejarah. Disebabkan itulah nama-nama sesetengah orang, tarikh dan tempatnya, tidak dipaparkan di dalam al-Qur’an. Walaupun naratif itu menyentuh seorang Rasul, ataupun musuhnya, Fir’aun umpamanya; banyak fakta-fakta yang ditinggalkan. Lantaran itu Abduh berlain dengan mufassirun lampau yang berusaha menerangkan hal-hal mubhamat - yang tidak diperincikan – ini. Beliau menegaskan yang pengajaran dari naratif tidak bergantung dari maklumat seumpama itu, tetapi kepada pengajaran yang dapat diraih daripadanya. Sepertimana ketika Tuhan menggambarkan perkara-perkara yang di luar jangkauan pemahaman manusia, maka Tuhan menggunakan loan-images atau imej pinjaman daripada keadaan fizikal yang sebenar atau pengalaman-mental; atau dengan menggunakan apa yang disebut oleh ahli tafsir Muktazilah yang terulung, Az-Zamakhshari, di dalam tafsirnya al-Kasyaf terhadap surah ke-13 ayat ke-35, “tamthilan li-ma ghaba anna bi-ma nushahid “ iaitu “melalui sebuah gambaran parabolik, dalam erti kata sesuatu yang kita tahu daripada pengalaman, tentang sesuatu yang melangkaui daya tanggapan kita”. Dalam bahasa yang mudah, sebagai contoh, bagaimanakah Allah menggambarkan ketenteraman dan keindahan di dalam al-Qur’an tentang syurga umpamanya. Maka loan-images atau imej pinjaman yang dipakai yang dapat dirasakan daripada pengalaman di dunia adalah sungai-sungai yang mengalir. Ertinya, sungai-sungai yang mengalir itu adalah imej pinjaman yang digunakan Tuhan untuk menggambarkan ketenangan dan ketenteraman di dalam syurga; dan bukan dalam pemahaman literalnya. Membuka Semula Pemikiran Yang Tertutup “Beliau (Abduh) adalah lelaki dengan perwatakan yang berani dan semangat yang merdeka, dengan terbuka mengungkapkan pandangannya dan mempertahankannya, tanpa gusar terhadap sesiapa jua yang memegang autoriti atau kekuasaan mana-mana yang besar” [Akhbar Arab, al-Muqattam] Perjuangan Muhammad Abduh untuk mengembalikan keagungan umat Islam dengan mengajak mereka menggali khazanah dan warisan yang ditinggalkan oleh pelopor yang terdahulu, yang pernah menguasai dan menakluki dunia, dalam segala lapangan pengetahuan, kerana mereka itulah Kaum-nya Muktazilah, yang tidak pernah memusuhi akal, yang meyakini nasib baik dan buruknya sesuatu kaum itu ditentukan oleh manusia sendiri. Tuhan tidak campur tangan dalam menentukan nasib sesuatu kaum. Tuhan hanya menetapkan hukum-hakam alam yang diciptakanNya. Dan dengan memahami bagaimana hukum-hakam alam itu yang tidak pernah berubah memungkinkan manusia mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Graviti yang dicipta Tuhan itu akan membuatkan apa saja yang diruang angkasa yang terefek dengan kuasa graviti itu tertarik ke arah bumi. Demikian contoh hukum yang telah dicipta Tuhan. Dan inilah keyakinan Kaum Muktazilah yang yakin hukum alam ini tetap kekal dan tidak berubah. Seperti itu jualah, sperma yang bergabung dengan ova, akan menghasilkan zigot, yang bertukar menjadi mórula, yang kemudian itu bertukar menjadi blastosis, yang pada peringkat akhirnya akan menjadi janin di dalam rahim. Demikian hukum ciptaan Tuhan. Memahami hukum-hakam ini membolehkan manusia mencipta in-vitro fertilization atau persenyawaan beradas, yang seakan-akan sepertimana Tuhan menjadikan manusia mengikut peraturan alam. Kesemuanya menurut hukum alam yang diciptakan Tuhan, dan bukannya magic. Pemikiran seperti ini dan pembuktian empirikal inilah yang memungkinkan Kaum Muktazilah menerajui dunia di zamannya dengan seluruh pengetahuan sains biologi, astronomi, geografi, fizik, kimia, perubatan dan sebagainya. Kerana bagi Kaum Muktazilah, hukum alam yang diciptakan Tuhan itu senantiasa tetap dan tidak berubah. Kerana demikianlah sunnatullah. Dan kerana itulah penemuan segenap ilmu sains menjadi mercutanda kejayaan Kaum Muktazilah. Penemuan sains dalam semua lapangan menjadi norma kerana sains dapat dibuktikan secara empirik. Dan Kaum Muktazilah percaya bahawa tidak akan ada kelainan atau perubahan dalam hukum alam yang telah ditetapkan Tuhan itu. “Maka tidak akan kamu temui dalam sunnatullah ini sebarang perubahan, dan tidak akan kamu temui dalam sunnatullah ini sebarang penyimpangan” [Surah Fātir; 35: 43] Bukannya dengan mempercayai perkara ajaib seperti pembedahan batin dan seumpamanya itu adalah benar kerana disangka itulah perubatan Islam. Inilah akibat fahaman Asha’irah yang percaya segala perkara ajaib boleh berlaku kerana Tuhan Maha Berkuasa dan tidak terikat dengan hukum yang Dia ciptakan sendiri. Bukankah mereka juga percaya yang nasib baik dan buruknya manusia itu adalah ketentuan Tuhan. Manusia tidak mempunyai apa-apa kekuasaan dalam menentukan nasibnya. Paradigma pesimisme dan fatalisme yang menganggap ketentuan nasib ditentukan Tuhan bersandarkan qada’ dan qadar sebagaimana difahami Asha’irah inilah yang seringkali digunakan untuk menjusfikasi kemalasan dalam berjuang dan mengikhtiarkan perubahan. Dari sinilah Kaum Muslimin menjadi statis, tidak kreatif, terperuk dalam kemiskinan, kesengsaraan, dan penderitaan, kerana mereka harus pasrah menerima kehidupan ini dengan rela sebagai takdir Tuhan. Akan tetapi Kaum Muktazilah adalah pendukung doktrin free will atau ikhtiyar; yang bererti mereka menafikan perbuatan manusia itu daripada ciptaan Tuhan. Sebaliknya, manusialah yang mencipta perbuatannya sendiri, berdasarkan pada kesanggupan yang telah diberikan Tuhan kepadanya. Perkara ini dapat difahami dengan lebih jitu apabila kita menilik kisah Adam dan Hawa di dalam Surah al-A’rāf. Peristiwa di mana Syaithan, atau yang boleh dimaksudkan dengan “dorongan kejahatan” telah menghasut mereka agar mendekati pohon al-khuld—pohon yang dilarang sebagai alegori bagi batasan yang Allah telah tetapkan bagi nafsu dan kehendak manusia. Namun dengan meningkatnya tahap kesedaran—yang dilambangkan dengan tindakan mengingkari perintah Tuhan yang dilakukan dengan sedar—maka Adam dikurniakan dengan “moral free will” atau kehendak moral yang bebas, di mana manusia bisa membezakan antara benar dan salah, dan lantas memilih cara hidupnya sendiri. Dalam maksud yang lebih mendalam, alegori tentang peristiwa “ketergelinciran” Adam ini bukan memberi makna yang retrogresif, sebaliknya menunjukkan satu tahap baru dalam perkembangan manusiawi, yang membuka ruang pada pertimbangan moral. Dengan melarang Adam daripada “mendekati pohon itu”, Tuhan memungkinkan manusia untuk memilih membuat salah, yang dengan itu juga, memilih berbuat benar, kerana manusia dikurniakan dengan “moral free will” yang membezakannya daripada para malaikat. Lantaran itu, usaha pertama yang perlu dilakukan untuk mengembalikan umat Islam ini secara umum, dan umat Melayu Islam di negara ini secara khusus, adalah dengan mendobrak akar teologi dari kesedaran dan pemikiran umat ini untuk dijuruskan pada pemikiran teologi yang membebas dan mencerahkan. Pemikiran yang membolehkan manusia membuat pertimbangan sendiri dan bukannya hanya berserah pada nasib. Kaum Muslimin tidak boleh mengharapkan perubahan dengan hanya duduk dan berdo’a dan mengharap mukjizat akan berlaku. Mereka mempunyai kepercayaan yang salah, yang secara langsung atau tidak diakibatkan daripada kalam Asha’irah, bahawa setiap urusan di dunia ini telahpun ditentukan untuk mereka. Tidak kira betapa keras mereka berusaha, apa yang telah ditakdirkan tidak akan berubah. Hasilnya, Kaum Muslimin ini menjadi kaum yang paling terkebelakang dan tidak produktif dalam sumbangan mereka terhadap sains, teknologi dan tamadun manusiawi. Bandingkan dengan pemikiran teologi yang dibentuk Kaum Muktazilah itu, yang mengertikan sabar itu bukan bermaksud pasrah dengan ketentuan, tetapi semangat untuk membanting usaha berjuang dan bekerja keras, yakni kesabaran yang ditanggung setiap Muslim dalam menahan jerih payah perjuangan dan bekerja keras untuk membangun kehidupan yang mulia lagi sejahtera. Dan qada’ dan qadar bukanlah ketentuan mutlak Allah bagi nasib baik buruk seseorang, tetapi ia harus dimaknai sebagai hukum Allah yang menescayakan adanya hubungan antara sebab dan musabab. Artinya akibat baik buruknya itu tergantung pada ikhtiar dan usaha manusia itu sesuai dengan hukum Allah darihal syarat keberhasilan usahanya, maka manusia itu pasti memperoleh kejayaan dalam usaha atau perjuangannya; demikian itulah sebaliknya. Demikian juga ajaran dan doktrin tentang tawakkal, redha dan qana’ah itu haruslah diartikan sebagai fungsi penyelaras spiritual atas kudrat yang terbatas dalam penciptaan manusia, sehingga perasaan manusia tidak tertekan apabila usaha yang telah mereka kerahkan dengan bersungguh tidak meraih hasil yang diharapkan. Sesungguhnya Allah berfirman di dalam al-Qur’an: “Sesungguhnya Kami tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka merubah apa yang ada di dalam diri mereka sendiri” [Surah ar-Ra’d; 13: 11] Sekiranya kita ingin merubah keadaan dan kondisi umat Islam pada ketika ini, maka kita harus terlebih dulu merubah pemikiran dan mempersoalkan teologi yang kita pegang agar kita benar-benar memahami kehendak daripada al-Qur’an yang dengannya, telah membawa kegemilangan pada umat yang lalu. Dan buku yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu ini, Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin, membawa kita menghimbau semula sejarah masa lalu tatkala tercetus pertembungan intelektual yang hebat antara Kaum Asha’irah dan Kaum Muktazilah. Dan bagaimana kemenangan Kaum Asha’irah itu telah menjadi malapetaka dan krisis pemikiran yang maha dahsyat bagi umat Islam selama berkurun lamanya. Dan konflik dan pembenturan pemikiran ini akan terus berlangsung selagi mana masih ada di kalangan umat ini yang meyakini bahawa wahyu (revelation), dan akal (reason) merupakan dua hal yang tidak dapat dipisahkan. Seperti kata Malik Bennabi: “Revelation’s relation to Reason is like that of the eye to light; neither may exist without the other.”

Thursday, February 24, 2011

Kebenaran Yang Terhijab

Dalam kegairahan kerajaan dan badan badan agama di negara kita membenteras dan mengekang ajaran Syiah dari tersebar , ada dikalangan penceramah yang memberikan ceramah dalam nada bersifat memecah belahkan masyarakat daripada mencari jalan memberi ilmu pengetahuan yang sebenarnya. persoalan yang dikemukakan adalah bersifat kontroversi dan cuba mencari pengaruh melalui jawatan mereka sebagai kakitangan kerajaan sebagaimana yang dilakukan oleh ulamak-ulamak Suu' semenjak zaman pemerintahan kerajaan Umayyah dan Abasiah. Pada zaman itu golongan Ulamak Suu' sering mencari jalan untuk mendekati istana bagi tujuan mencari habuan dunia. Tidak salah sekiranya ulamak mendampingi Sultan atau pemerintah jika ianya bertujuan untuk menasihati pemerintah atau berkerjasama untuk menjaga agama Allah ini. namun apa yang dicatatkan dalam lipatan sejarah, ramai dikalangan ulama (Suu') yang bertindak mendekati Sultan bagi tujuan peribadi. Lihatlah bagaimana kehidupan ulama-ulama tarekat dan pengampu sultan yang hidup mewah dan kaya raya dan dalam masa yang sama mengajar pengikutnya bersifat zuhud. Lihatlah juga bagaimana sikap ulamak-ulamak Suu yang mencetuskan api perpecahan dan memfitnah ulama lain sedangkan dalam masa sama mereka menyeru kearah takwa dan tawadduk.

Dengan kedududakn dan jawatan mereka di dalam jabatan tertentu, mereka mempunyai kelebihan untuk bersuara. Apa yang paling ditakutkan adalah "Suara" yang dikeluarkannya itu merupakan "suara" yang dilaungkan oleh golongan Syiah itu sendiri. Sebagai ahli agama yang mendapat pendidikan formal dalam bidang keagamaan tentunya mereka amat mengetahui tatasusila dalam adabul ikhtilaf. Janganlah sampai masyarakat jadi celaru dan berpecah belah disebabkan masalah yang telah diselesaikan oleh ulamak-ulamak silam.

Apa yang saya perhatikan , semua persoalan yang diperdebatkan telah lama diselesaikan oleh ulama-ulama silam. masalah itu adalah sama dan jawapannya adalah sama. maka rujuklah kepada dua perkara yang telah dipesankan oleh Rasulullah apabila kita menghadapi pertikaian iaitu AL QURAN DAN AL SUNNAH.

Akhir sekali sebagai seorang sahabat suka saya memberi peringatan terutama kepada diri saya sendiri sendiri dengan satu kalimah : ITTAQULLAH !

Semoga pengakhiran kita nanti adalah di SyurgaMU Ya Allah!

Monday, May 10, 2010

Kejayaan Yahudi Menguasai Umat Islam

Musuh Islam khususnya bangsa Yahudi sememangnya amat mengetahui bahawa mereka mungkin akan gagal. menguasai umat Islam melalui peperangan. Sejak zaman rasulullah saw,umat Islam sememangnya bertambah kuat apabila mereka diasak dengan tekanan dan peperangan. sejarah juga mencatatkan bahawa keruntuhan kerajaan Islam adalah berpunca daripada limpahan nikmat duniawi dan rapuhnya pegangan umat Islam khususnya para penguasa terhadap ajaran Islam.

Berdasarkan kajian secara terperinci maka musuh Islam mengalih perhatian daripada serangan melalui jalan peperangan kepada serangan melalui pemikiran. jika dikaji, ayat pertama diturunkan oleh Allah SWT adalah sebuah ayat untuk membina pemikiran. "Iqra", Bacalah..... ianya tidak mungkin berlaku kepada merka yang rosak akal pemikiran. Iqra' adalah ayat kepada mereka yang berfikir. jalan mana untuk kita halakan pemikiran? " jalannya adalah Iqra Bismirabbikal lazi Khalak..... bacalah dengan nama tuhanMu yang menjadikan makhluk.makanya setiap pemikiran manusia mesti berasaskan ajaran wahyu. Mesti berpandukan ajaran rabbaniah. tidak boleh semata-mata berpandukan kekuatan akal melalui kajian dan penelitian tanpa dirujuk kepada wahyu.

lantaran itu, serangan melalui pemikiran dilakukan dengan dua cara. pertamanya adalah dengan mengalih perhatian manusia kepada aspek yang melaghakan. Ini kerana setiap perkara yang melaghakan paksinya adalah nafsu dan lawannya adalah akal.Keduanya adalah dengan mengalihkan pemikiran manusia daripada pemikiran berteraskan wahyu kepada pemikiran berteraskan nafsu. makanya segala hujjah adalah didasarkan untuk mencari kemenagan bukannya mencari kebenaran.

serangan ini kesannya adalah amat dahsyat kerana ianya melangkaui sempadan negara,umur,jantina, bangsa dan agama. serangannya meliputi golongan sekular dan agama. Serangannya meliputi ahli ilmu dan juhala. yang lebih dahsyat, serangannya meliputi ulama dan awam. kesannya begitu parah namun keparahan yang dialami hanya dapat disaksikan oleh mereka yang berlindung dengan dua senjata yang ditinggalkan oleh baginda rasulullah saw iaitu Al quran dan al sunnah.

Tuesday, May 5, 2009

Bila Ulama Terperangkap dalam Kerangka Jumud

Kejatuhan Khilafah Othmaniah ditangan Mustaffa kamal Antartuk merupakan salah satu malapetaka terbesar bagi umat Islam. Kejatuhan itu bukan hanya beerti kejatuhan sebuah pemerintahan bahkan ianya juga membawa erti kejatuhan pemikiran yang mengaplikasikan robeknya sebuah kesepakatan dan kemuafakatan seagama.kebanyakan Umat Islam membawa haluan dalam kelompok masing-masing.

percambahan pemikiran seolah-olah telah mati. para ulamak lebih suka membicarakan serta membahas hukum-hukum Feqah yang telah dikaji oleh ulamak silam tanpa berusaha menyesuaikan dengan keperluan feqah setempat dan sezaman. Taklid membuta tuli sudah menjadi seolah-olah rukun dalam agama. Jikapun ada pembaharuan yang cuba dibawa oleh sekelompok ulama, mereka akan diserang habis habisan serta dilabel sebagai kaum muda, penganut wahabism, sesat dan sebagainya.Pintu ijtihad seolah-olah dikunci serapat-rapatnya. Proses pemikiran hanya ditumpukan kepada menegakkan hujjah bagi membuktikan pegangan yang dianutinya adalah yang paling betul dan murni tanpa merujuk kepada adabul ikhtilaf.

sayang sekali, ramai ahli agama yang tersesat dalam lavel serta sudut yang sama sedangkan mereka merasakan bahawa mereka telah sampai ke level yang teratas.Pendapat dan hujah Mereka yang telah sampai Ditingkatan lebih atas tidak mampu difahami kerana mereka terlindung oleh dinding kejumudan dan taklid buta. hujah 'guru' mereka seolah-olah sama taraf dengan al Quran dan Al hadis yang tidak boleh dipertikaikan sedangkan hanya dua rujukan ini sahajalah yang tidak boleh dipertikaikan sebaliknya ianya hendaklah dikaji dan diteliti rahsia serta maksud yang tersirat.

paling malang bila ulama telah terkepung dalam penyakit kemerosotan intelek maka mereka yang bukan mempunyai asas agama serta tidak mempunyai otoriti (yang tidak ada asas pengajian agama meliputi pengajian Al Quran, Al hadis samada secara formal atau tidak formal ) mengambil tempat membahaskan persoalan agama sehinggakan kepada persoalan yang kompleks dan memerlukan individu yang bersifat "ahli" untuk membahaskannya. Maka jadilah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW " ... maka mengambillah manusia itu ketua dari kalangan mereka yang tidak berilmu , ia akan ditanya dengan sesuatu persoalan maka ia akan memberi jawapan yang tidak berasaskan kepada ilmu pengetahuan maka jadilah ia seorang yang sesat lagi menyesatkan"

Wednesday, February 21, 2007

MENGEMBALIKAN KEUNGGULAN UMAT ISLAM

MENGEMBALIKAN KEUNGGULAN UMAT ISLAM


Sejarah telah merakamkan bahawa Islam pada suatu ketika dahulu pernah menguasai dan menjadi kuasa besar dunia. Hari ini dunia menyaksikan bagaimana umat Islam yang suatu ketika dahulu berkuasa kini bergelut dengan berbagai-bagai penindasan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam.

Umat Islam telah ketinggalan dalam banyak bidang baik dari segi pendidikan, ekonomi dan politik. Apakah punca kejatuhan umat Islam bukanlah merupakan satu tajuk yang ingin dibincangkan di sini sebaliknya penulis ingin membincangkan peranan yang boleh dimainkan oleh setiap individu muslim bagi mengembalikan maruah yang telah dirampas.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud “ sekiranya kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalilah kejalan Allah dan Rasul”. Kembali kepada Allah dan Rasul beerti merujuk segala permasalahan yang timbul berpandukan kepada pengajaran Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Al Quran yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW merupakan kitab yang mempunyai mukjizat tersendiri dan telah sempurna isi kandungannya untuk menjadi pedoman bagi kehidupan manusia. Sabda nabi SAW " Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang kepada keduanya maka kamu tidak akan sesat untuk selama-lamanya iaitu Al Quran dan Sunnahku." Firman Allah “ Hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah sempurnakan bagi kamu nikmatKu dan Aku redha agama Islam itu sebagai agama anutan bagi kamu”

Islam bukanlah satu agama yang berkonsepkan ibadat khususiah semata-mata sebaliknya Islam merupakan satu agama yang mengatur perjalanan hidup penganutnya secara lengkap bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia. Hal ini telah dijelaskan oleh Salman Al Farisi tentang kelebihan ajaran Islam yang mengajar dan mengatur perjalanan hidup penganutnya hingga keaspek-aspek yang kecil hatta kepada adab muslim didalam tandas.

Allah SWT, tuhan yang menciptakan manusia dengan keluasan ilmunya sememangnya mengetahui tentang kelemahan manusia. Manusia tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan justeru itu setiap suruhan dan larangan dalam ajaran Islam terdapat sistem penguatkuasaan yang membezakan ajaran Islam dengan ajaran lain. Sebagai contoh, Islam mengharamkan zina. Bagi menguatkuasakan pengharaman ini maka Islam meletakkan hukuman sebat bagi penzina yang bukan muhsin dan rejam bagi penzina muhsin. Hukuman keatas mereka ini disyaratkan agar dilakukan dikhalayak ramai agar memberi pengajaran kepada orang lain supaya menjauhi tegahan Allah.

Tujuan hukuman didalam Islam adalah untuk mengajar dan membendung manusia dari melakukan tegahan Allah dan bukannya untuk menyiksa mereka yang telah melakukan kesalahan. Qaedah Fiqhiyyah menyatakan “ Tolaklah hudud dengan kesamaran”. Ini menggambarkan kepada kita bahawa tujuan hukuman dijalankan didalam Islam adalah untuk mendidik manusia menjadi insan yang berdisiplin dan patuh kepada suruhan Allah.

Keseluruhan ajaran Islam adalah bertujuan untuk mengatur kehidupan manusia dengan bersistematik agar umat manusia menjadi umat yang unggul dan berjaya. Kejayaan didalam pandangan Islam bukanlah terletak kepada penguasaan nilai material semata-mata sebaliknya kejayaan dalam Islam dinilai kepada kemampuan seseorang mematuhi dan mengamalkan ajaran agama sehingga mereka mampu mentadbir urusan dunia sesuai dengan amanah yang dipertanggungjawabkan iaitu sebagai khalifah Allah.

Dalam menilai sesuatu kejayaan juga maka kita dapati bahawa ukuran kejayaan bagi seseorang individu Muslim dapat dilihat berdasarkan firman Allah SWT didalam surah Al Mukminun ayat 1 hingga 11 yang bermaksud “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu orang yang khusuk didalam solatnya dan orang orang yang menjauhkan dirinya dari perkara-perkara yang tidak berguna dan orang orang yang menunaikan zakat dan orang-orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki. Maka sesungguhnya dalam hal ini mereka tidak tercela. Barangsiapa mencari yang selain daripada itu maka sesungguhnya mereka itu adalah orang yang melampaui batas. Dan orang orang yang menjaga amanah-amanah dan janji-janjinya. Dan orang-orang yang menjaga sembahyang-sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi syurga firdaus. Mereka kekal didalamnya.”

Jelaslah kepada kita bahawa terdapat tujuh ciri-ciri individu yang berjaya seperti yang telah ditegaskan oleh Allah SWT melalui firmannya di atas. Golongan itu ialah :

i. Individu yang khusuk didalam sembahyang. Mereka adalah golongan yang dapat menjaga hati mereka dan menumpukan sepenuhnya terhadap amalan yang mereka lakukan. Setiap amalan yang mereka lakukan itu adalah semata-mata kerana Allah SWT. Apabila hati mereka telah khusuk maka sembahyang itu merupakan penjaga bagi mereka daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar sebagaimana firman Allah “ Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”


ii. Individu yang dapat menjaga diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berguna. Mereka ini adalah golongan yang menjaga masa dan menumpukan setiap perbuatan dan percakapan kearah perkara-perkara yang boleh memberi input kearah perkembangan Islam.Allah SWT telah berfirman “ Demi masa sesungguhnya manusia berada didalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.Nasihat menasihati diatas landasan kebenaran dan nasihat menasihati denagan penuh kesabaran.”
iii. Individu yang mengeluarkan zakat. Golongan ini adalah golongan yang patuh pada suruhan Allah serta bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Secara langsung perbuatan mereka ini dapat membantu ekonomi umat Islam serta merapatkan jurang diantara golongan kaya dengan golongan miskin. Firman Allah didalam surah al Taubah yang bermaksud “ Ambillah sebahagian daripada harta mereka itu menjadi sedekah (zakat) supaya dengan itu engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan engkau mensucikan mereka(dari sifat buruk).”
iv. Individu yang menjaga kemaluan mereka daripada perkara yang diharamkan oleh Allah.Mereka adalah golongan yang tidak melakukan zina, homoseksual dan lesbian.Golongan ini juga merupakan golongan yang menjauhi diri mereka daripada perbuatan yang boleh membawa kearah zina seperti berkhalwat ,bercampur gaul antara bukan muhrim secara bebas dan keterlaluan,memakai pakaian yang menjolok mata sehingga menimbulkan perasaan syahwat terhadap orang lain lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai penyakit didalam hati,bercakap perkara-perkara lucah dan sebagainya.Firman Allah didalam surak Al Israk yang bermaksud “ Dan janganlah kamu mendekati perbuatan yang boleh membawa kepada zina kerana ia merupakan perbuatan yang keji dan jalan yang amat buruk.”
v. Individu yang menjaga amanat.Golongan ini adalah golongan yang sentiasa merasa diri mereka diperhatikan oleh Allah SWT.Setiap amanah yang dipikul dilaksanakan dengan baik biarpun ianya tidak diperhatikan oleh orang lain.Apabila amanat ini dijaga maka secara langsung ia membawa kepada kejayaan mewujudkan TQM (Total Management Quality).Perkara ini juga akan mewujudkan satu budaya hidup yang berdisiplin dan masyarakat akan dapat hidup dalam suasana puas hati (redha) dan tidak timbul sebarang perangsangka buruk kerana masing masing bekerja secara profesional.
vi. Individu yang memelihara janji dan menunaikannya.Memelihara janji bermaksud tidak berjanji sekiranya merasakan diri tidak mampu melaksanakan janji itu dan menunaikannya dan berusaha untuk menunaikannya apabila telah berjanji. Golongan ini merupakan golongan yang berhati-hati didalam melaksanakan sebarang tindakan dan mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjnag yang jitu.Individu ini juga merupakan golongan yang tidak mempunyai kepentingan peribadi dan bekerja kerana Allah semata-mata.
vii. Individu yang memelihara solatnya. Mereka adalah golongan yang tidak tinggal sembahyang yang difardukan.Mereka akan tetap melakukan solat walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Golongan ini akan merasakan ketenangan didalam setiap pekerjaan yang dilakukan kerana paling kurang mereka akan rukuk dan sujud kepada tuhan Rabbul Alamin sebanyak lima masa dalam sehari semalam. Ini membawa erti bahawa disamping usaha yang dilakukan maka pengharapan sepenuhnya diserahkan kepada Allah SWT. Betapa besarnya perananan solat dalam kehidupan seseorang muslim dapat dilihat mealui peristiwa saat-saat terakhir hayat Rasulullah yang menekankan agar manusia mengambil berat tentang sembahyang. Suatu hakikat yang harus diterima bahawa antara punca berlakunya banyak gejala moral pada masa kini adalah disebabkan oleh kealpaan manusia terhadap ibadat solat ini.

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa tujuh perkara ini adalah antara kunci penyelesaian kepada masaalah yang melanda masyarakat kita. Sebagai contoh masaalah penglibatan para pelajar dengan kumpulan samseng, masalah ragut, perzinaan, jenayah rogol dan sebagainya adalah disebabkan daripada roh solat tidak dapat hidup didalam jiwa mereka.

Tidak khusuk didalam solat menyebabkan keagungan Allah dan kebesaranNya tidak dapat meresap didalam sanubari mereka. Keadaan ini akan menyebabkan mereka menjadi pengkagum kepada ajaran songsang yang disebarkan oleh kenaifan tamadun barat kini. Tidak pelik sekiranya suatu masa dahulu kita dapati ada dikalangan manusia yang sanggup memuja syaitan dan melakukan perbuatan perbuatan yang menyalahi akidah umat Islam.

Begitu juga dengan masaalah masaalah lain yang melanda negara kita. Pokok utama adalah disebabkan kurangnya pendidikan agama yang diterapkan kepada anak-anak dan sekiranya ada, ianya tidak dititik beratkan dan dikuatkuasakan sehingga dapat mewujudkan kekaguman, penghormatan dan kepatuhan anak-anak terhadap ajaran agama.

Tujuh perkara yang menjadi neraca bagi mengukur kejayaan seseorang individu muslim itu , sekiranya tidak diambil berat maka ianya akan menjadi peruntuh kepada ketamadunan ummat. Sejarah keruntuhan sesebuah kerajaan Islam dapat dilihat berakibat daripada kurangnya penekanan para pemerintah pada masa itu terhadap perkara-perkara ini seperti leka terhadap solat, hanyut dengan keseronokan dunia sehingga membazir masa dengan berbagai bentuk hiburan,tamak haloba sehingga tidak mahu mengeluarkan zakat, terjerumus didalam kancah penzinaan sehingga sanggup menyimpan gundik-gundik, tidak melaksanakan amanat yang dipertanggungjawabkan iaitu memimpin negara dan menjaga kehormatan Islam dan sebagainya.

Umat Islam sepatutnya menjadi pendominasi kepada seluruh aspek kehidupan manusia. Sebaliknya pada masa kini kita lebih menjadi ‘carbon copy’ kepada orang bukan Islam. Sudah tiba masanya untuk kita mengembalikan keagungan agama kita dalam bentuk modul yang boleh dirujuk oleh seluruh manusia yang berada diatas muka bumi ini sebagaimana ianya telah dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW, para sahabatnya ,khalifah-khalifah Islam dan seluruh para pejuang Islam. Kita tetap meyakini bahawa “ Islam itu sentiasa berada di puncak dan tidak ada yang dapat menandinginya”

Wednesday, February 14, 2007

USAH DITANGISI MASA YANG BERLALU



- Peristiwa yang memalukan @ menyedihkan jangan diingati
- Fokus kehidupan kita adalah untuk hari mendatang

Sebagaimana kata-kata Ben Sweeetland dalam bukunya “ Saya pasti” bahawa kehidupan ini adalah proses menyelesaikan masalah. Selagi kita bernyawa, selagi kita hidup maka kita akan berhadapan dengan masalah. Cuma apa yang membezakan kita hanyalah tahap masalah yang dihadapi dan cara kita mengangani masalah yang dihadapi.

Apabila kita berjaya menyelesaikan masalah itu bermakna kita berjaya melepasi satu halangan untuk menghadapi halangan yang lain. Kita sepatutnya bersyukur dan bergembira kerana halangan itu dapat kita atasi. Seorang yang berlari sejauh 5 kilometer mungkin berhadapan dengan cabaran dari mindanya untuk menamatkan larian itu sebelum sampai ke garisan penamat. Sekiranya dia terus berusaha sehingga berjaya pasti beliau akan merasa satu kepuasan dan keseronokan setelah usahanya itu berjaya.

Kehidupan kita ini seharusnya diharungi dengan perasaan seronok. Segala apa yang mengecewakan kita pada masa lalu seharusnya dijadikan sebagai panduan dan rangsangan untuk kita membina sebuah kecemerlangan. Kita mesti terus meningkat / maju. Perjalanan kita adalah menuju kehadapan. Apa yang ditinggalkan dibelakang itu tidak perlu diratapi kerana kita sudah tidak mempunyai masa untuk meratapinya.

Hidup ini adalah satu perjalanan. Kehidupan kita didunia ini bukanlah satu destinasi. Bila kita mengatakan bahawa kehidupan ini adalah satu perjalanan maka kita mesti mempersiapkan perjalanan ini dengan bekalan yang secukupnya. Ingatlah bahawa semua orang sedang mengharungi perjalanan. Sedetik masa kita gunakan untuk kita meratapi masa lalu boleh menyebabkan kita ketinggalan beberapa tangga kejayaan berbanding orang lain.

Tidak dinafikan bahawa perasaan semula jadi kita akan merasai suka, duka, sedih, pilu, marah dan sebagainya. Apa yang telah berlalu itu biarkanlah berlalu cuma bagi kita ialah untuk menjadikannya iktibar atau neraca timbangan untuk membuat keputusan bagi hari mendatang. Teruskanlah perjalanan kita menuju kehadapan bukannya memberhentikannya dengan melihat apa yang telah kita tinggalkannya dibelakang. Biarkan sejarah menjadi pedoman untuk kita terus maju.

Tuesday, February 6, 2007

Gagal Bukan Beerti Kalah

GAGAL BUKAN BEERTI KALAH

Adakah anda pernah gagal ? Adakah anda selalu bertindak untuk tidak melakukan sesuatu yang anda fikir boleh membawa keuntungan semata-mata kerana anda takutkan kegagalan?

Ramai dikalangan kita yang takutkan kegagalan. Bagi sesetengah kumpulan, kalimah Gagal amat berpuaka. Mereka fikir kegagalan beerti kemusnahan dan pengakhiran bagi sesuatu. Mungkin pelik kalau saya katakan bahawa kegagalan itu sebenarnya adalah kunci bagi kejayaan. Anda berani gagal beerti anda sedang menempah kejayaan.

Cuba perhatikan bagaimana kejayaan yang diperolehi oleh para pahlawan Islam yang terdahulu begitu juga kejayaan yang dicapai oleh Shogun, Kamikaze dan sebagainya. Dalam peperangan yang mereka tempuhi anda akan dapati bahawa mereka berperang untuk mati. Kalau dua orang bertarung pastinya mereka inginkan kemenangan. Kemenangan itu tanda kejayaan sebaliknya mereka yang kalah dikira gagal. Dalam sejarah jihad, para syuhada berjuang untuk mati. Bila mereka berjuang untuk mati mereka tidak akan takut sekiranya tercedera atau dibunuh. Keberanian mereka menghadapi kegagalan ini menyebabkan mereka memperolehi kemenangan terhadap perjuangan mereka. Inilah kunci bagi kejayaan mereka.

Orang yang pernah gagal sebenarnya mereka telah menyuntik imunisasi untuk mencapai kemenangan. Kegagalan yang mereka alami akan menjadikan diri mereka tabah dan kental bagi menghadapi cabaran yang seterusnya.

Dalam latihan ketenteraan contohnya, Jika anda gagal dalam latihan basic komando untuk kali pertama tentunya anda akan berusaha untuk melakukan buat kali kedua. Pada kali ini pastinya persiapan anda lebih baik dari kali pertama. Anda juga akan lebih bersemangat untuk membuktikan bahawa anda boleh.